Kamis, September 25, 2008

MALAYSIA – INDONESIA DALAM SEJARAH: LIKU-LIKU HUBUNGAN

Oleh : Abdullah Zakaria bin Ghazali, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur Malaysia


PENDAHULUAN

Kertas ini cuba mengupas hubungan Semenanjung Tanah Melayu dengan Indonesia dari zaman Melaka hingga terikatnya perjanjian London pada 17 Mac 1824. Jika didadasarkan kepada tulisan Prapanca yang mengarang syair berjudul Nagarakartagama pada tahun 1365, mencatatkan ketika pemerintahan Hayam Wuruk, dan menterinya Pateh Gajah Mada, negeri-negeri di bawah kekuasaan Majapahit antara lain ialah Langkasuka, Hujung Madini Tringgano (Terengganu), Kelanten (Kelantan), Sai (Saiburi), Paka, Dungun, Temasik, Kelang, Sang Hyang Hujung (Sungai Ujong) dan Kedah.[i] Namun begitu hubungan ini tidak dapat digalurkan dengan jelas kerana setakat ini bahannya sangat terhadad.

Namun begitu hubungan Malaysia dengan Indonesia bertambah jelas ketika kerajaan Melaka. Antaranya hubungan dengan Aceh, Bintan, Rokan, Siak, Aru, Kampar, Inderagiri dan kerajaan Majapahit. Apabila kota Melaka ditakluki Portugis pada tahun 1511, kerajaan Melaka berakhir, dan kerajaan baru, iaitu kerajaan Johor muncul di selatan Semenanjung Tanah Melayu. Pengasasnya Sultan Alauddin Riayat Shah, putera Sultan Mahmud (marhum Kampar) dengan Tun Fatimah binti Bendahara Tun Mutahir. Kerajaan ini meneruskan keagongan kesultanan Melaka. Hubungan dengan negeri-negeri di Indonesia ketika Melaka dahulu diterusnkan.

Kerajaan Johor dikemucak keagongan menjadi kuasa agong di Selat Melaka, dan pusat pentadbirannya di Johor, kemudiannya berpindah ke Bintan, dan seterusnya berpindah ke Lingga. Namun begitu kerajaan Johor mengalami perubahan besar setelah berkuat kuasa perjanjian London yang ditandatangani oleh British dan Belanda pada 17 Mac 1824: kawasan dari Singapura ke atas menjadi kawasan lindungan British; manakala ke bawah Singapura menjadi lindungan Belanda. Seterusnya kerajaan Johor lama berpecah.

HUBUNGAN MALAYSIAINDONESIA

Hubungan Ketika Kerajaan Melaka

Kerajaan Melaka diasaskan oleh Raja Iskandar (ada juga sumber mencatatkan Parameswara), keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Raja Iskandar ini adalah keturunan Sang Nila Utama yang meninggalkan kerajaan Palembang sebelum membuka Temasik dan ditukar nama kepada Singapura. Dalam Sejarah Melayu dinyatakan yang nama Temasik ditukar kepada Singapura oleh Seri Teri Buana (atau Sang Nila Utama). Mengenai pertukaran nama ini Sejarah Melayu mencatatkan: “Maka Seri Teri Buana pun berbuat negerilah di Temasik, maka dinamai baginda Singapura”.[ii] Keturunan baginda memerintah Singapura sehinggalah Raja Iskandar mengundurkan diri dan akhirnya mendirikan kerajaan Melaka. Seri Teri Buana digantikan puteranya, Paduka Sari Pikrama Wira. Seterusnya Seri Rana Wira Kerma, Paduka Seri Maharaja, Raja Iskandar (Permaisura).[iii] Raja Iskandar kemudiannya berundur ke Muar, Melaka dan akhirnya mendirikan kerajaan di sini.[iv]

Seterusnya Melaka berkembang di bawah pimpinan raja-raja Melaka yang cekap dan bijak menguruskan pentadbiran negeri. Sultan yang memerintah Melaka adalah seperti berikut: Raja Iskandar Shah/Parameswara, 1390–1414; Megat Iskandar Shah, 1414–1424; Seri Maharaja/Sultan Muhammad Shah, 1424-1444; Parameswara Dewa Shah/Sultan Abu Shahib, 1444-1446; Sultan Muzaffar Shah, 1446-1456; Sultan Mansur Shah, 1456-1477; Sultan Alauddin Riayat Shah, 1477-1488; Sultan Mahmud Shah, 1488-1511; Sultan Ahmad Shah, 1511.[v]

Melaka mencapai kemuncak dikenali seluruh dunia, khususnya sebagai pusat perdagangan ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah. Namun begitu keagungan kerajaan Melaka mengalami kemerosotan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud dikatakan menyesali segala tindakan kurang baik dalam pentadbiran telah mengambil keputusan turun dari takhta kerajaan dan menyerahkannya kepada Raja Ahmad, putera baginda.

Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Shah, Melaka diserang dan ditawan oleh angkatan Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511.[vi] Sultan Ahmad dan ayahandanya, bekas Sultan Mahmud berundur ke Muar, Pahang dan akhirnya Bintan. Sultan Ahmad bersemayam di Bukit Batu, manakala bekas Sultan Mahmud bersemayam di Tebing Tinggi. Kemudiannya Sultan Ahmad dibunuh di atas perkenan bekas Sultan Mahmud. Jenazah baginda dimakamkan di Bukit Batu, Hulu Bintan.[vii] Setelah Sultan Ahmad mangkat, bekas Sultan Mahmud mengambil alih sebagai pengganti. Walaupun Sejarah Melayu tidak menyatakan dengan jelas pengambilalihan pucuk pimpinan, tetapi menghuraikan dengan jelas perlantikan Orang-orang Besar Kerajaan oleh Sultan Mahmud.[viii] Sultan Mahmud seterusnya membina kota dan bersemayam di Kopak.

Ketika berada dalam pengunduran Sultan Mahmud seringkali melancarkan serangan ke Portugis di Melaka, tetapi gagal. Pada tahun 1526, Sultan Mahmud menghadapi angkatan Portugis di Bintan. Angkatan Sultan Mahmud gagal mengatasinya, dan dengan nasihat pembesar baginda berundur ke Kampar. Setelah tiba di Kampar Sultan Mahmud Shah dan rombongan disambut oleh pembesar Kampar. Baginda bersemayam di istana Raja Abdullah yang ditangkap Portugis.[ix] Ketika berada di Kampar, Sultan Mahmud ditabalkan oleh pembesar Kampar sebagai Sultan menggantikan Sultan Abdullah yang dibunuh Portugis.[x] Sultan Mahmud mangkat di Kampar pada tahun 1528 dan dikenali sebagai Marhum Kampar.

Melaka-Rokan

Dalam Sejarah Melayu mencatatkan Sultan Muhammad Shah Melaka berkahwin putreri Raja Rokan dan bergelar Raja Perempuan. Perkahwinan ini menghasilkan seorang putera, bernama Raja Ibrahim. Oleh kerana pengaruh Raja Perempuan ini kuat, Sultan Muhammad melantik Raja Ibrahim sebagai pengganti; mengenepikan Raja Kasim, putera baginda dengan Tun Ratna Wati binti Mani Purindan.

Kemudiannya Raja Rokan (tidak dinyatakan nama), putera Sultan Sidi datang berkunjung ke Melaka. Baginda Raja Rokan ini saudara sepupu Raja Perempuan, isteri Sultan Muhammad. Ketika berada di Melaka, Raja Rokan dipermuliakan oleh Sultan Muhammad.[xi] Setelah memerintah Melaka selama 67 tahun, Sultan Muhammad mangkat. Dengan itu Raja Ibrahim, putera baginda dengan Raja Perempuan dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Melaka bergelar Sultan Abu Shahid. Oleh kerana baginda masih kecil, takhta kerajaan Melaka dipangku oleh Raja Rokan. Dengan itu kerajaan Melaka seolah-olah diperintahkan oleh Raja Rokan. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan perselisihan dalam istana. Raja Kasim keluar dari istana, tinggal di pantai sebagai nelayan. Manakala ramai pembesar Melaka datang berjumpa Bendahara berbincang mengenai Raja Rokan untuk mengambilalih teraju pemerintahan Melaka.

Rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melaka ini membawa kepada lahirnya pakatan dengan Raja Kasim merebut kuasa. Raja Kasim mengetuai angkatan melancarkan perang ke atas Raja Rokan. Dalam pertempuran itu Bendahara memberi sokongan kepada Raja Kasim. Raja Rokan pula sentiasa bersama dengan Sultan Abu Shahid. Pertempuran berakhir apabila Raja Rokan ditikam dan setelah merasai baginda luka, Raja Rokan menikam Sultan Abu Shahid. Setelah Sultan Abu Shahid mangkat takhta kerajaan Melaka digantikan oleh Raja Kasim. Raja Kasim ditabalkan sebagai Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Sultan Abu Shahid menduduki takhta kerajaan Melaka selama setahun lima bulan.[xii]

Melaka-Inderagiri

Mengikut Sejarah Melayu hubungan Melaka dengan Inderagiri berlaku di masa Sultan Mansur Shah. Sultan Mansur Shah berangkat ke Majapahit berkahwin dengan Raden Galuh. Tidak lama setelah berkahwin Sultan Mansur Shah bersiap sedia untuk pulang ke Melaka. Ketika persiapan ini Sultan Mansur Shah melalui pembesar baginda, Tun Bijaya Sura memohon Inderagiri daripada Betara Majapahit. Betara Majapahit berbincang pembesarnya, akhirnya bersetuju menganugerahkan Inderagiri kepada Sultan Mansur Shah. Selain itu Betara Majapahit menganugerahkan Jambi dan Tungkal kepada Hang Jebat serta Siantan kepada Hang Tuah.[xiii]

Kemudiannya Raja Inderagiri, Raja Merlang datang ke Melaka. Ketika berada di Melaka, Raja Merlang dikahwinkan oleh Sultan Mansur Shah dengan puteri baginda, Raja Bakal. Raja Merlang tidak dibenarkan pulang oleh Sultan Mansur Shah ke Inderagiri. Perkahwinan Raja Merlang dengan Raja Bakal melahirkan Raja Nara Singa. Raja Nara Singa menduduki takhta kerajaan Inderagiri dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil.[xiv]

Sementara Raja Nara Singa berada di Melaka, bapa saudaranya Maharaja Tuban(Tumbun) mangkat. Dengan itu Maharaja Isap(Isab), putera baginda dilantik sebagai pengganti. Penggantian ini tidak disenangi oleh ramai rakyat Inderagiri. Ada antara mereka tidak mampu menentang mengambil keputusan meninggalkan negeri. Dari kalangan mereka itu ramai berpindah ke Melaka. Perpindahan ke Melaka ini kerana mereka percaya keadaan negerinya aman. Ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah terdapat perkampungan orang Inderagiri di Melaka dan penghulunya Tun Mamat.[xv]

Setelah beberapa lama di Melaka, Sutan Nara Singa (Raja Nara Singa) beberapa kali memohon daripada Sultan Mahmud Shah untuk kembali ke Inderagiri dengan alasan “…sungguhpun ada negeri patik dianugerahi duli Yang Dipertuan, tiada patik melihat dia”.[xvi] Namun demikian hasrat Sutan Nara Singa ini tidak dipenuhi Sultan Mahmud. Namun begitu apabila Sutan Nara Singa menyatakan ingin membawa isterinya bermain-main, Sultan Mahmud perkenan. Dengan itu Sutan Nara Singa mengambil kesempatan membawa isteri baginda pulang ke Inderagiri. [xvii] Ketika hendak berangkat ke Inderagiri, sudah terdapat Rakit Kulim menunggu untuk membawa baginda pulang. Sementara itu berita disebarkan di Melaka, Raja Nara Singa diculik ke Inderagiri. Padahal Raja Nara Singa berpakat dengan utusan Dato’ Patih menghebahkan yang baginda diculik. Raja Nara Singa bersama isteri bertolak pagi-pagi dari istana ke Sungai Duyung untuk menaikki Rakit Kulim yang menunggu di sini. Kemudiannya Raja Nara Singa tiba di Sungai Keruh yang disebut sebagai Sungai Inderagiri.[xviii]

Setelah tiba di Inderagiri, Sutan Nara Singa mendapati bapa saudaranya, Maharaja Tuban(Tumbun) yang menguruskan pentadbiran Inderagiri telah mangkat, dan puteranya Maharaja Isap(Isab) menjadi Raja Inderagiri. Maharaja Isap mendapat tentangan daripada Orang Besar Inderagiri, Tun Kecil dan Tun Bali dan berundur ke Lingga. Di sini Maharaja Isap berkahwin dengan anak Maharaja Megat(anak Maharaja Terengganu), Raja Lingga dan seterusnya menjadi Raja Lingga menggantikan mertuanya. Maharaja Isap menghadap Sultan Mahmud di Melaka dan dianugerahkan persalinan. Ketika Maharaja Isap berada di Melaka, Sutan Nara Singa melancarkan serangan ke Lingga dan menawan hanya anak isteri Maharaja Isap. Tindakan Sutan Nara Singa ini menimbulkan kemarahkan Maharaja Isap. Dengan itu beliau kembali ke Lingga dan seterusnya merancang melancarkan serangan ke atas Inderagiri. Dalam rancangan itu Maharaja Isap menunggu isteri Sutan Nara Singa, puteri Sultan Melaka tidak ada dalam negeri Inderagiri. Apabila Sutan Nara Singa dan isteri berangkat ke Melaka, Maharaja Isap melancarkan serangan ke atas Inderagiri. Kemudiannya Maharaja Isap meghadap Sultan Mahmud di Melaka. Kedua-duanya, Sutan Nara Singa dan Maharaja Isap berjaya didamaikan Sultan Mahmud. Seterusnya Sutan Nara Singa pulang ke Inderagiri dan Maharaja Isap pulang ke Lingga.[xix]

Terdapat catatan pada sekeping Salsilah Pertalian Sultan Johor, Pahang, Singapura, Riau dan Lingga, Terengganu dan Selangor, Inderagiri dan Siak, Raja-Raja Inderagiri itu berasal daripada keturunan Melaka. Namun demikian tidak terdapat catatan yang jelas mengenai perkara ini. Pada catatan ini disebut:

Sahadan adapun Raja-raja Inderagiri itu asalnya daripada anak raja Melaka juga yang diambil oleh Tuk Temenggung Inderagiri dengan Rakit Kayu Kulim bergelar Sultan Alaiddin Inayat Shah lapan keturunan sultan-sultannya sampai kepada Muzaffar Shah.[xx]

Dalam satu salsilah yang lain dinyatakan keturunan Sultan Sallehuddin Inderagiri menyusul ke atas dari Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mahmud Shah, Sultan Muzaffar Shah, Sutlan Abdul Jalil Shah, Sultan Ahmad, Sultan Muda, Sultan Jamaluddin Inayat Shah, Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin, Raja Kecil Besar (bergelar Sultan Muhammad, Sultan Melaka), Raja Tengah Melaka, Seri Iskandar(Pengasas Kerajaan Melaka), Seri Maharaja dan seterusnya hingga ke Nila Utama(bergelar Sang Sapurba).[xxi]

Dalam pada itu terdapat sebuah sumber lain di Inderagiri bernama Rakit Kulim. Sumber ini menyentuh hal yang berkaitan dengan Kerajaan Inderagiri dan apa yang lebih menarik ialah mengenai hubungan kerajaan Inderagiri dengan Melaka. Dalam Rakit Kulim dinyatakan Raja Kecik Mambang atau Raja Merlang pertama adalah putera Raja Kecil Besar Melaka (atau Sultan Muhammad Shah). Raja Merlang ini dinobatkan sebagai Raja Inderagiri oleh ayahanda baginda, Sultan Muhammad Melaka. Baginda kemudiannya dikenali sebagai Sutan Merlang.[xxii] Sultan Inderagiri pertama, kedua dan ketiga lebih lama berada di Melaka daripada Inderagiri. Manakala pentadbiran Inderagiri dikendalikan oleh Orang Besar, iaitu Patih dan Datuk Temenggung. Kemudiannya datuk-datuk membuat keputusan menjemput Sultan Inderagiri pulang ke Inderagiri dari Melaka. Dengan itu mereka membina Rakit Kulim yang terdiri daripada tiga buah sampan yang dibuat daripada kayu kulim dan diikat satu berbentuk rakit.

Setelah datuk-datuk Inderagiri bersiap sedia, Rakit Kulim bergerak ke Melaka untuk menjemput sultan mereka, Raja Nara Singa. Apabila tiba di Melaka, Raja Nara Singa dihubungi. Raja Nara Singa keluar dari istana baginda sebelum waktu subuh dengan bantuan Tun Kecil menuju ke Durian Daun, dan terus ke Sungai Duyung di mana Rakit Kulim menunggu di sini. Ketika tiba di Rakit Kulim, Raja Nara Singa disambut meriah dan seterusnya menaikki Rakit Kulim.

Ketiadaan Raja Nara Singa di istana menggemparkan, antaranya sanak saudara dan rakan baginda. Namun begitu Sultan Muhammad tidak menitahkan mengambil sebarang tindakan kerana baginda sudah dimaklumkan oleh Raja Nara Singa tentang hasratnya pulang ke Inderagiri. Setelah beberapa lama berlayar, Rakit Kulim yang membawa Raja Nara Singa tiba di kuala Sungai Inderagiri, terus ke perigi raja. Kemudiannya Rakit Kulim meneruskan perjalanan ke Pekan dan di sini Raja Nara Singa mendirikan kota istana.[xxiii]

Melaka-Kampar

Sejarah Melayu mengaitkan hubungan Melaka dengan Kampar ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah dan melalui perang. Kampar yang berpusat di Pekan Tua, ketika pemerintah Maharaja Jaya, keturunan Raja Minangkabau tidak menyembah kepada Sultan Mansur Shah di Melaka. Dengan itu Sultan Mansur Shah mengarahkan Seri Nara Diraja mengetuai angkatan perang bersama Sang Setia, Sang Guna, Sang Naya dan Khoja Baba melancarkan serangan ke atas Kampar.

Maharaja Jaya yang mendapat berita kedatangan angkatan Melaka di Kampar mengarahkan mangkubuminya Tun Demang mengumpulkan rakyat Kampar dengan senjata. Kedatangan angkatan Melaka ini dihadang oleh pasukan Maharaja Jaya dan Tun Demang. Dalam pertempuran ini Tun Demang terbunuh dipanah oleh Khoja Baba. Setelah melihat Tun Demang terbunuh, Maharaja Jaya tersangat marah sambil menaikki gajah menyerang Seri Nara Diraja. Dalam pertempuran ini Seri Nara Diraja menikam dada Maharaja Jaya dengan lembing dan mangkat. Setelah Maharaja Jaya mangkat, Kampar pun kalah. Kemudiannya Sultan Mansur Shah meletakkan Kampar di bawah pentadbiran Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja orang yang pertama melantik Adipati di Kampar.[xxiv]

Dalam kisah yang lain, Sejarah Melayu mencatatkan Raja Abdullah Kampar anak Raja Menawar. Raja Menawar ini pula saudara Sultan Mahmud Shah Melaka. Raja Abdullah setelah mendapat berita Melaka diduduki Portugis, baginda berhajat bersahabat dengan Portugis untuk mendapat jajahan takluk Melaka. Walaupun dinasihati pembesar baginda berkeras ingin bertemu Portugis. Dengan ini Raja Abdullah bersama pembesarnya belayar dan singgah di Tanjung Gading. Pada ketika ini terdapat kapal Portugis di Selat Unggaran. Raja Abdullah menghantar utusan memaklumkan yang baginda ingin bertemu kapten Portugis. Dalam pertemuan ini pihak Portugis memberi amaran kepada utusan Raja Abdullah supaya memaklumkan kepada raja mereka bahawa Raja Abdullah hendaklah datang dengan sebuah sampan sahaja. Syarat yang dikemukakan Portugis ini mencurigai pembesar Raja Abdullah. Pembesar Kampar menasihati Raja Abdullah supaya tidak pergi bertemu kapten kapal Portugis. Raja Abdullah tanpa mengendahkan nasihat pembesar baginda terus bersampan ke kapal Portugis. Baginda seorang sahaja dijemput menaikki kapal tersebut. Ketika perbincangan berlangsung, Raja Abdullah dibawa pergi oleh kapal Portugis. Pembesar yang membawa Raja Abdullah tidak dapat berbuat apa-apa, pulang melaporkan kepada pembesar Kampar yang lain. Namun begitu pembesar Kampar gagal menyelamatkan Raja Abdullah. Raja Abdullah dibawa ke Melaka dan seterusnya ke Goa.[xxv]

Pada tahun 1526, Sultan Mahmud Shah yang gagal mengalahkan angkatan Portugis menyerang Bintan berundur dan bersemayam di Kampar. Oleh kerana Raja Abdullah, Raja Kampar sudah tidak ada lagi, pembesar Kampar melantik dan menobatkan Sultan Mahmud sebagai Sultan Kampar.

Melaka-Siak

Sepertimana Kampar, hubungan Melaka dengan Siak, bermula di masa Sultan Mansur Shah dan melalui perang. Sultan Mansur Shah mengambil keputusan menyerang Siak kerana Siak tidak mahu menyembah kepada Melaka. Siak di bawah pemerintahan Maharaja Paramiswara, keturunan Pagar Ruyung enggan menyembah kepada Sultan Mansur Shah Melaka. Dengan itu baginda mengarahkan Seri Udana bersama Sang Jaya Pikrama, Sang Surana, Akhtiar Muluk dan Sang Aria mengepalai angkatan Melaka melancarkan serangan ke atas Siak.

Setelah menerima titah, Seri Udana melengkapkan angkatan Melaka, mara dan tiba di Siak. Ketibaaan angkatan Melaka di Siak ini dimaklumkan kepada Raja Siak, Maharaja Paramiswara. Dengan itu Maharaja Paramiswara menitahkan mangkubumi baginda, Tun Jana Pakibul menyusun tentera, membaiki kota pertahanan dan kekuatan Siak. Kota Siak di tepi sungai. Angkatan Melaka merempuh kota Siak di tepi sungai, menyebabkan runtuh dan ramai orang Siak meninggal dunia. Sementara itu Maharaja Paramiswara berdiri di atas kota mengarahkan angkatan baginda berperang dengan angkatan Melaka. Kedudukan Maharaja Paramiswara ini dilihat oleh Akhtiar Muluk. Dengan itu beliau memanah Maharaja Paramiswara, kena dada dan mangkat. Setelah melihat raja sudah mangkat, rakyat Siak pun mengundurkan diri. Setelah mencapai kemenangan Seri Udani pulang ke Melaka bersama Megat Kudu, putera Maharaja Paramiswara, Tun Jana Pakibul dan harta rampasan. Ketika berada di Melaka Megat Kudu diberi persalinan dan dikahwinkan oleh Sultan Mansur Shah dengan Raja Mahadewi, puteri baginda. Kemudiannya Megat Kudu dibenarkan pulang ke Siak menduduki takhta kerajaan. Baginda memakai gelaran Sultan Ibrahim ketika menduduki takhta kerajaan Siak. Manakala Tun Jana Pakibul dikekalkan sebagai mangkubumi. Hasil perkahwinan Sultan Ibrahim dengan Raja Mahadewi lahir Raja Abdullah.[xxvi]

Melaka-Majapahit

Sejarah Melayu pada “Alqisah 9” menghuraikan sejarah ringkas Majapahit yang kemudiannya menyatakan Betara Majapahit mempunyai seorang puteri, Raden Galuh Cendera Kirana yang cantiknya tersebar hingga ke Melaka. Dengan itu Sultan Mansur Melaka jatuh hati dan bersiap berangkat ke Majapahit. Sementara itu baginda mengajak sama Raja Merlang, Inderagiri; Raja Palembang, Raja Jambi, Raja Lingga dan Raja Tungkal. Ketika di Majapahit Sultan Mansur dikahwinkan dengan Raden Galuh Cendera Kirana. Setelah tinggal beberapa lama di Majapahit, Sultan Mansur bersama isteri baginda, Raden Galuh Cendera Kirana berangkat ke Melaka.[xxvii]

Melaka-Pasai

Sejarah Melayu mengaitkan hubungan Melaka-Pasai dengan persoalan kitab Dur Manzum. Kitab ini dibawa Maulana Abu Bakar ke Melaka. Sultan Mansur yang memerintah Melaka ketika itu menitahkan Tuan Pematakan di Pasai menjelaskan isi kandungan itu kepada baginda. Setelah selesai diertikan kitab itu dikembalikan kepada Sultan Mansur di Melaka. Kemudiannya Sultan Mansur menintahkan pembesar baginda ke Pasai mendapatkan pengertian “Segala isi syurga itu kekalkan ia dalam syurga? Dan bagi isi neraka itu, kekalkah ia dalam naraka?”.

Tun Bija Wangsa dititahkan ke Pasai membawa maksud ini. Jika maksud tersebut terurai, Sultan Mansur menitahkan Tun Bija Wangsa menghadiah emas urai tujuh tahil, dan perempuan dua orang (Dang Bunga, peranakan Makasar dan Dang Biba, peranakan biduanda Mula (Muar?)).

Ketika di Pasai, bingkisan ini diarak ke balai dan dibaca. Persoalan ini berjaya diselesaikan oleh Tuan Makhdum Mua. Setelah selesai, Tun Bija Wangsa pulang ke Melaka bersama warkah yang dikirimkan oleh Raja Pasai.[xxviii]

Hubungan Ketika Kerajaan Johor

Kerajaan Johor diasaskan oleh Raja Ali yang memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah l pada tahun 1528. Beliau adalah putera Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah. Kerajaan Johor menghadapi saingan Portugis di Melaka dan kerajaan Aceh di Sumatra. Namun begitu Sultan Johor mampu menegakkan kesultanan Johor, walaupun terpaksa berpindah randah kota pentadbiran setelah dimusnahkan oleh serangan Portugis atau Aceh.

Walaupun Sultan Mahmud pernah tinggal di Johor, namun baginda masih dikenali dengan panggilan Sultan Mahmud Melaka. Dalam pada itu Sultan Mahmud tidak menetap lama di satu-satu tempat, sentiasa berpindah kerana seringkali diserang Portugis. Pada tahun 1526, angkatan Portugis menyerang baginda di Pulau Bintan. Sultan Mahmud yang gagal mempertahankan kedudukan berundur ke Kampar dan dua tahun kemudian (1528) mangkat di Kampar dan dikenali dengan panggilan Marhum Kampar.

Apabila Sultan Mahmud mangkat, teraju pimpinan diteruskan oleh putera baginda, Raja Ali. Raja Ali bertolak dari Kampar ke Pahang dan seterusnya ke satu tempat yang dikenali sebagai Kampung Sayung Pinang, Kota Tinggi. Di sini Raja Ali mendirikan istana dan pusat pentadbiran. Baginda dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah dan baginda adalah pengasas kesultanan Johor. Oleh itu adalah tidak wajar sama sekali Sultan Alauddin Riayat Shah dicatatkan sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah ll. Baginda bukan Sultan Melaka, dan dengan itu tidak munasabah langsung dikaitkan dengan Sultan Melaka.

Sehingga persaingan dengan Jambi, sultan yang memerintah Johor terdiri daripada keturunan Kesultanan Melaka. Keluarga Kesultanan Melaka yang memerintah Johor terdiri daripada dua keluarga. Pertama keluarga yang langsung datang ke Johor dari Melaka. Kedua, keluarga Melaka yang tinggal di Pahang sebelum datang ke Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah pengasas atau sultan pertama Johor adalah keluarga Melaka yang berasal langsung dari Melaka. Apabila mangkat, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda, Sultan Muzaffar Shah.

Selepas Sultan Muzaffar Shah mangkat takhta kerajaan tidak diteruskan oleh keluarga ini; sebaliknya digantikan oleh Raja Abdul Jalil, putera Raja Omar yang berasal dari Pahang dengan Raja Fatimah ibni Sultan Alauddin Riayat Shah. Dalam penggantian ini Raja Fatimah memainkan peranan mempengaruhi pembesar Johor melantik puteranya sebagai sultan. Raja Abdul Jalil dikenali sebagai Sultan Abdul Jalil Shah l. Dalam hal Sultan Abdul Jalil Shah l ini masih boleh dibahaskan dari segi asal usulnya. Baginda adalah gabungan keluarga Melaka langsung di Johor dengan keluarga Melaka Pahang. Oleh itu masih boleh dikatakan yang baginda adalah daripada keturunan langsung Melaka di Johor.

Namun begitu keadaan terus berubah selepas Sultan Abdul Jalil Shah l mangkat. Raja Fatimah sekali lagi berjaya memainkan peranan memujuk pembesar Johor melantik suaminya Raja Omar sebagai Sultan Johor. Kenaikan Raja Omar sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ll (1571-1597) menghentikan keluarga Melaka-Johor menguasai takhta kerajaan. Baginda adalah keluarga Melaka-Pahang. Seterusnya selepas baginda mangkat, takhta kerajaan Johor digantikan oleh Raja Mansur, putera baginda dengan anak perempuan Seri Nara Diraja Pahang. Raja Mansur dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah ll.

Sultan Alauddin Riayat ll mangkat di Aceh di sekitar tahun 1615. Apabila Sultan Alauddin Riayat Shah ll mangkat, takhta kerajaan Johor digantikan oleh Raja Abdullah. Baginda memakai gelaran Sultan Abdullah Muayat Shah (1615-1623). Oleh kerana baginda adalah putera Sultan Muzaffar Shah ibni Sultan Alauddin Riayat Shah l, bermakna takhta kerajaan Johor kini kembali semula kepada keluarga Melaka yang langsung ke Johor.

Apabila Sultan Abdullah Muayat Shah mangkat pada tahun 1623, takhta kerajaan diduduki oleh Raja Bujang, Sultan Pahang, putera Sultan Alauddin Riayat Shah ll. Baginda memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Shah lll (1623-1677). Raja Bujang dilantik sebagai sultan kerana putera Sultan Abdullah Muayat Shah, Raja Bajau masih kecil. Sebelum perlantikan ini dilakukan, Laksamana Tun Abdul Jamil diamanahkan melantik Raja Bajau sebagai Sultan Johor apabila dia dewasa. Oleh kerana Raja Bujang sudah menjadi sultan Johor bermakna kini Pahang tidak ada lagi sultan. Sultan Pahang iaitu Raja Bujang sudah dilantik sebagai Sultan Johor.[xxix] Selain itu kenaikkan Sultan Abdul Jalil Shah lll sebagai Sultan Johor ini meneruskan kembali keluarga Melaka-Pahang menguasai kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Abdul Jalil Shah l. Ketika pemerintahan baginda, Johor makmur dan maju. Kekalahan Portugis di Melaka pada tahun 1641 di tangan Belanda yang dibantu Johor menyebabkan musuh dan saingan Johor sudah tidak ada lagi di Selat Melaka. Walaupun kuasa asing juga berkuasa di Melaka, tetapi Belanda tidak mengganggu Johor. Di samping itu kemangkatan Sultan Iskandar Muda Thani pada tahun 1641 telah melemahkan lagi kedudukan Aceh. Ketiadaan Portugis dan kelemahan Aceh serta faktor dalaman Johor; seperti sokongan orang laut, daulat keturunan Melaka, peranan pembesar dan Majlis Orang Kaya, perkembangan perdagangan di antara faktor yang menyumbang kepada kemantapan kerajaan Johor. Walaupun demikian kekuatan Johor terjejas apabila ia dikalahkan oleh Jambi pada tahun 1673. Sultan Abdul Jalil Shah lll berundur ke Pahang. Sebelum itu baginda memberi kuasa penuh kepada Laksamana Tun Abdul Jamil membina kembali kekuatan tentera untuk menuntut bela dan memulihkan maruah Johor. Laksamana Tun Abdul Jamil memilih Bintan sebagai pusatnya.

Sementara Tun Abdul Jamil mengumpul kekuatan, Sultan Abdul Jalil Shah lll mangkat pada tahun 1677. Sebelum itu pada tahun 1675 Raja Muda Bajau mangkat di Pahang. Dengan itu putera Raja Muda Bajau, Raja Ibrahim dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Johor. Kini keluarga Melaka-Johor yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah l meneruskan kembali takhta kerajaan Johor. Ketika pemeritahan baginda, angkatan Johor di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil berjaya mengalahkan Jambi pada tahun 1679. Kemenangan ini memulihkan semula maruah Johor. Sebagai mengenang jasa Lakasamana Tun Abdul Jamil, Sultan Ibrahim menganugerahkan gelaran Paduka Raja. Gelaran ini adalah tertinggi disandang oleh pembesar Johor dan lazimnya disandang oleh Bendahara.

Apabila Sultan Ibrahim mangkat pada tahun 1685, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda yang masih kecil, Raja Mahmud. Ketika pertabalan, Raja Mahmud tidak seperti lazimnya diriba Bendahara, tetapi sebaliknya diriba oleh Permaisuri, anak Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil. Persaingan di antara Bendahara Tun Habib Abdul Majid dengan Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil berterusan, sehingga Paduka Raja Raja Laksamana dititahkan dibunuh. Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil bersama keluarga berundur ke Terengganu. Ketika berada di Terengganu, Paduka Raja Tun Abdul Jamil dibunuh. Dengan itu Bendahara berkuasa semula. Pada tahun 1679 Bendahara Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia. Berikutnya jawatan bendahara disandang oleh anaknya, Tun Abdul Jalil.

Kemudiannya pada tahun 1699, Sultan Mahmud dibunuh oleh Megat Seri Rama. Kedua-dua sumber Melayu, Tuhfat al-Nafis dan Hikayat Johor Serta Pahang mencatatkan penglibatan Bendahara Tun Abdul Jalil dan saudaranya dengan Megat Seri Rama dalam pakatan membunuh Sultan Mahmud. Baginda dikenali sebagai Marhum Mangkat diJulang. Dengan alasan tanpa meninggalkan zuriat, Sultan Mahmud digantikan oleh Bendahara Tun Abdul Jalil pada tahun 1699. Setelah menduduki takhta kerajaan, Bendahara Tun Abdul Jalil memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.

Kira-kira 19 tahun Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV menduduki takhta kerajaan, Raja Kechil dari Siak yang mendakwa putera Sultan Mahmud mangkat dijulang dengan bantuan orang Minangkabau dan Orang Laut menyerang Johor. Raja Kechil berjaya mengalahkan Johor, menduduki takhta kerajaan Johor dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah pada tahun 1718. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mencuba mendapat kembali semula takhta kerajaan Johor tetapi gagal. Baginda kemudiannya dibunuh oleh Laksamana Nakhoda Sekam di Kuala Pahang pada tahun 1721, di atas titah Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Kemangkatan Sultan Abdul Riayat Shah IV ini menimbulkan pakatan Raja Sulaiman, putera baginda dengan Opu Bugis Lima Bersaudara, Opu Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambung dan Daeng Kemasi untuk mendapatkan takhta kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Penglibatan Bugis ini menyebabkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dikalahkan. Seterusnya Opu Bugis Lima Bersaudara melantik dan menabalkan Raja Sulaiman sebagai Sultan Johor. Baginda memakai gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Manakala Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah meneruskan pemerintahannya di Siak, dikenali sebagai Kerajaan Siak, dan berpusat di Buantan.

Sultan Sulaimanan Badrul Alam mangkat pada tahun 1760, dan takhta kerajaan Johor digantikan oleh putera baginda, Sultan Abdul Jalil Muazam Shah. Tidak sampai setahun memerintah Sultan Abdul Jalil Muazam Shah mangkat pada tahun 1761. Dengan itu takhta kerajaan Johor digantikan oleh putera baginda yang masih kecil, Sultan Ahmad. Sultan Ahmad mangkat pada tahun yang sama, 1761, dan takhta kerajaan Johor digantikan oleh adinda baginda, Sultan Mahmud. Sultan Mahmud memulakan pemerintahan di Bintah, dan kemudiannya berpinda ke Lingga. Sultan Mahmud memerintah Johor sehingga baginda mangkat pada tahun 1812. Apabila baginda mangkat Tengku Abdul Rahman dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Johor bersemayam di Lingga. Manakala putera sulung baginda, Tengku Husinn dilantik sebagai Sultan Johor pada tahun 1819, bersemayam di Singapura. Mulai tahun 1819, kerajaan Johor berpecah dua, dan akhirnya berkuat kuasa Perjanjian London, 1824, kerajaan Johor terus dipecahkan. Kepulauan Riau-Lingga di bawah pengaruh Belanda, dan seterusnya menjadi kawasan Indonesia.

Johor-Aceh

Kerajaan Johor yang diasaskan oleh Raja Ali yang memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah l menghadapi saingan Portugis di Melaka dan kerajaan Aceh di Sumatera. Walaupaun terpaksa berpindah randah kota pentadbiran setelah dimusnahkan oleh angkatan Portugis atau Aceh, Sultan Johor masih mampu mempertahankan kerajaan Johor.

Kerajaan Aceh berkembang ketika pemerintahan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530). Sultan Ali Mughayat Shah menyerang dan menakluki Daya (1520), Pedir (1521) dan Pasai (1526). Kemudiannya pada tahun 1537, Sultan Alauddin Riayat Shah al-Kahar menduduki takhta kerajaan Aceh setelah menggulingkan saudaranyanya. Baginda menguasai kota pelabuhan, antaranya Barus, Singkel, Pariaman dan Tiku.

Pada tahun 1539, Sultan Alauddin Riayat Shah al-Kahar Aceh bersama 160 buah kapal dan 12,000 orang tentera melancarkan serangan ke atas Aru. Pemerintah Aru berundur ke Johor dan memohon bantuan Sultan Alauddin Riayat Shah l. Sultan Alauddin Riayat Shah l mengepalai tentera bertempur dengan Aceh dan berjaya mengalahkannya di Sungai Panai. Dalam peperangan ini, selain Johor, Aru dibantu oleh Perak dan Siak.[xxx] Dengan kejayaan ini Aru dibebaskan. Sultan Alauddin Riayat Shah al-Kahar kemudiannya menghantar tentera menyerang Johor pada tahun 1565. Angkatan Aceh memusnahkan ibu kota kerajaan Johor. Di samping itu menawan sultan, pembesar dan keluarga diraja dan dibawa ke Aceh. Seterusnya pada tahun 1570, Sultan Alauddin Riayat al-Kahar menghantar angkatan menyerang ibu kota Johor. Oleh kerana kota Johor kuat, angkatan Aceh secara senyap mengundurkan diri.[xxxi]

Pada tahun 1565 Sultan Alauddin Riayat Shah al-Kahar menguasai Aru, jajahan Johor.[xxxii] Baginda juga menghantar utusan ke Turki untuk mendapatkan bantuan tentera.[xxxiii] Kesultanan Aceh sampai kemuncak di masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Ketika pemerintahan baginda, Aceh berjaya mengukuhkan kekuasaan di Sumatra Barat. Wakil Raja atau Panglima ditempatkan di pusat utama untuk mengawal keluar masuk barangan.[xxxiv] Melalui pungutan cukai dan keterlibatan baginda dalam perdagangan, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sangat kaya dan berkuasa.[xxxv] Selain melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menyerang Kedah, Perak, Johor dan Pahang.

Sultan Alauddin Riayat Shah ll (1597-1615), walaupun dibantah Raja Seberang (Raja Abdullah) terus membuat persahabatan dengan Portugis pada tahun 1610. Langkahnya ini menimbulkan kemarahan Aceh. Dengan itu pada 6 Jun 1613, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menyerang memusnahkan ibu kota Johor di Batu Sawar. Seterusnya baginda menawan Sultan Alauddin Riayat Shah ll dan keluarga, pembesar Johor serta Raja Abdullah (Raja Seberang) dan dibawa ke Aceh. Kemudiannya Raja Abdullah dikahwinkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dengan puteri baginda. Tidak lama kemudiannya dengan diiringi 2,000 orang Aceh di bawah pengawasan Raja Lela Wangsa, Raja Abdullah dihantar pulang ke Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah lll juga dibenarkan pulang ke Johor. Sultan Aceh menuntut Johor membantu Aceh dalam peperangan dengan Portugis.[xxxvi] Pada tahun 1615 Sultan Alauddin Riayat Shah lll berpakat dengan Portugis melantik putera baginda, Raja Bujang sebagai Sultan Pahang. Langkah Sultan Alauddin Riayat Shah ini membangkitkan kemarahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Aceh. Dengan itu baginda menyerang Johor pada tahun 1615. Sultan Alauddin Riayat Shah lll ditawan dan dibawa sekali lagi ke Aceh. Baginda dijatuhkan hukuman bunuh olek kerajaan Aceh. Dengan itu takhta kerajaan Johor digantikan oleh Raja Abdullah dan memakai gelaran Sultan Abdullah Muayat Shah.[xxxvii]

Sultan Abdullah tidak mengendahkan kekuasaan Aceh dan cuba mendapat pertolongan daripada Belanda. Setelah gagal mendapatkan bantuan Belanda, Sultan Abdullah meminta bantuan Portugis. Baginda akhirnya berjaya mengusir orang Aceh dari Johor. Seterusnyanya baginda berpindah ke Bintan, kerana di sini baginda mudah mendapat sokongan tentera daripada orang laut yang tinggal di sekitar Pulau Bintan-Lingga. Sultan Abdullah kemudiannya mengadakan gabungan dengan Palembang, Indragiri, Jambi, Siak dan Kampar untuk menentang Aceh. Kemudiannya Raja Abdullah berpindah pula ke Lingga.[xxxviii] Sultan Abdullah berpindah ke Lingga kerana merasa tidak selamat setelah menceraikan isteri baginda, puteri Aceh.[xxxix]

Pada tahun 1623 Aceh melancarkan serangan ke Lingga. Sultan Abdullah berundur ke Tembelan dan mangkat di sini. Baginda dikenali dengan panggilan Marhum Tembelan. Oleh kerana putera baginda Raja Bajau masih kecil, Raja Bujang Sultan Pahang dilantik sebagai Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Shah lll (1623-1677).

Selain Johor, Aceh di bawah Iskandar Muda Mahkota Alam menyerang dan mengalahkan Pahang (1618), Kedah (1619) dan Perak (1619).[xl] Namun begitu kekuataan Aceh merosot selepas tahun 1629. Pada tahun 1629 Aceh kalah dalam peperangan dengan Portugis di Melaka. Dalam peperangan ini Aceh kehilangan kapal perang dan kira-kira 19,000 tentera. Selepas tahun ini, Aceh tidak lagi melancarkan dasar serangan ke atas Tanah Melayu. Apabila Iskandar Muda Mahkota Alam mangkat 1636, kerajaan Aceh digantikan oleh menantu baginda, Iskandar Muda Thani, keturunan kesultanan Melaka Pahang. Ketika pemerintahan baginda, Aceh tidak menjalankan serangan ke atas Tanah Melayu. Sementara itu Portugis dikalahkan oleh Belanda dengan bantuan Johor pada tahun yang sama, 1641. Mulai 1641 Belanda menduduki Melaka. Sebagai mengenang jasa bantuan Johor dan persetian 1603 yang dikemaskan pada 1639, Belanda memberi kebenaran pembesar Johor mengendalikan perdagangan di Selat Melaka. Kini Johor menguruskan perdagangan tanpa gangguan Belanda. Belanda juga menjadi pengantara persefahaman Johor-Aceh 1641. Kedua negeri ini tidak akan bermusuhan di antara satu sama lain. Pada tahun 1641, Iskandar Muda Thani mangkat, takhta kerajaan Aceh diperintahkan oleh balu baginda, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah. Walaupun Aceh tidak berpengaruh dalam kerajaan Johor, tetapi pengaruhnya di Perak masih kuat. Ini dapat dilihat apabila Belanda gagal membuat perjanjian monopoli bijih timah di Perak pada tahun 1650, rombongan Belanda dihantar ke istana Aceh mendesak Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah membantu mereka. Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah mengirim utusan mengiringi rombongan Belanda ke Perak. Sultan Muzaffar Shah ll, Perak dan orang besar menandatangani perjanjian pada 15 Ogos 1650 membenar Belanda membuka gudang menguruskan perniagaan bijih timah di Kuala Perak.

Johor-Jambi

Pada kurun ke-17 memperlihatkan perselisihan di antara Johor dengan Jambi. Pada tahun 1629, Johor menuntut kedaulatan ke atas Tungkal dari kerajaan Jambi. Tuntutan ini tidak diendahkan, kerana Tungkal dijadikan mas kahwin Pangiran Ratu Jambi kepada isterinya. Apabila Johor mempengaruhi Tungkal menderhaka kepada Jambi dan berlindung di bawah kerajaan Johor pada tahun 1655, Pangiran Ratu Jambi menjadi marah. Manakala penduduk Tungkal menuntut Jambi menyerahkan hak kepada tuan mereka, Sultan Johor.

Pada tahun 1659 percubaan dilakukan untuk menyelesaikan masalah Johor-Jambi melalui perkahwinan di antara puteri Pangiran Jambi dengan Raja Muda Johor (Raja Bajau). Perkahwinan di antara Raja Muda Johor, Raja Bajau[xli] dengan puteri Pangiran Ratu Jambi berlangsung pada tahun 1659.[xlii] Raja Muda Bajau adalah putera Sultan Abdullah Muayat Shah atau Sultan Hammad Shah (1615-1623) dengan puteri Jambi. Ketika Sultan Abdullah mangkat di Tembelan, setelah berundur dari Lingga yang diserang Aceh, Raja Bajau berusia 2 tahun. Manakala bondanya, puteri Jambi pulang ke Jambi.[xliii] Namun begitu hubungan kedua-dua masih tidak aman. Raja Muda Johor tinggal di Jambi sehingga tahun 1660. Ketika berada di Jambi, Raja Muda meminta Pangiran Ratu Jambi menolak kedaulatan Mataram dan memberi penghormatan kepada Susuhunan.[xliv]

Dalam pada itu Sultan Abdul Jalil Shah lll, mencurigai Raja Muda Bajau berada di Jambi. Baginda mencurigai Raja Muda Bajau dengan bantuan Jambi akan mengambil alih teraju pemerintahan Johor. Kembimbangan ini berpunca daripada amanah yang diberikan kepada Laksamana Abdul Jamil ketika melantik Sultan Abdul Jalil Shah lll di atas takhta kerajaan tersebut akan diserahkan kepada putera Sultan Abdullah Muayat Shah apabila dewasa. Selain itu baginda juga bimbang Jambi akan meminta bantuan Mataram melanggar Johor. Pada September 1660 Raja Muda Bajau pulang ke Johor dengan janji akan kembali semula Jambi mengambil isterinya ke Johor setelah siap membina tempat kediaman. Dikatakan yang Sultan Abdul Jalil Shah lll sedar tindak balas kerajaan Jambi sekiranya baginda menghalang Raja Muda Bajau kembali ke Jambi mengambil isterinya.

Dalam persaingan ini juga soal perdagangan menjadi motif utama. Kedua-dua kerajaan bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Masing-masing menggunakan sokongan orang laut untuk menguasai jalan perdagangan. Johor mendapat sokongan dan bantuan daripada orang laut Johor yang tinggal di sekitar Johor; manakala Jambi mendapat sokongan dan bantuan daripada orang laut yang tinggal di sekitar pesisir Jambi dan pulau-pulau berhampiran. Persaingan yang memberi kesan kepada kelancaran perdagangan membimbang Belanda yang mempunyai kepentingan laluan Selat Melaka dan lada hitam di Jambi. Oleh sebab itu Belanda mengambil bahagian sebagai orang tengah dalam persaingan kedua-dua kuasa ini.

Sultan Abdul Jalil Shah lll cuba mendapatkan bantuan Belanda sekiranya ia diserang oleh gabungan Jambi dan Mataram. Dalam perkara ini yang membimbangkan Sultan Abdul Jalil Shah lll ialah cabaran Raja Muda Bajau untuk mendapatkan takhta kerajaan Johor. Pada tahun 1663, Sultan Abdul Jalil Shah lll menjelaskan kepada Jambi demi keselamatan isteri Raja Bajau kerana bimbang serangan Portugis dari Melaka, isteri Raja Muda Bajau tidak dibenarkan datang ke Johor. Padahal penguasa Melaka sejak tahun 1641 adalah Belanda.

Dalam perkembangan lain, sementara isterinya berada di Jambi, Raja Muda Bajau bertunang pula dengan anak Laksamana Tun Abdul Jamil. Belanda mendapat berita kira-kira 6000 buah kapal perang Johor berlabuh di Batu Pahat. Sementera itu beberapa bulan kemudian, 5 buah kapal perang dan 2,000 orang tentera bersiap sedia di Lingga. Oleh kerana bimbang perniagaannya dengan Jambi terganggu, Belanda menghantar utusan ke Johor untuk mencari penyelesaian. Utusan Belanda ini gagal. Manakala Jambi pula menuntut Raja Muda Bajau datang menjemput isterinya atau menceraikannya. Belanda sekali lagi menghantar Jacob J. Pitt ke Johor opada 30 November 1666 untuk berunding mencari perdamaian Johor-Jambi.

Sementara itu Palembang menyerang Jambi. Dengan itu Raja Muda Bajau yang mendapat maklumat daripada utusan Jambi bersama 25 buah kapal perang berlepas ke Lingga. Di sini akan bergabung dengan angkatan Jambi menyerang Palembang. Kemudian angkatan Jambi di bawah Pangiran Dipati Anum dan Pangiran Ratu Jambi tiba di Lingga. Semua angkatan yang ada di Linggi berlepas ke Jambi. Dalam perjalanan, Raja Muda Johor bimbang dengan sikap beberapa Jambi yang cuba menaikki perahunya. Seterusnya beberapa buah kapal Jambi mengiringi dengan keadaan mencurigakan. Dengan itu Raja Muda mengambil keputusan mengundurkan diri dan pulang ke Johor.

Selain itu Sultan Abdul Jalil Shah lll Johor marah kepada Pangiran Ratu Jambi kerana dengan sengaja melanggari adat. Mengikut adat, pada surat yang dikirimkan, nama dan cop mohor diletakkan di tengah-tengah surat. Manakala Pangiran Ratu Jambi meletakkan nama dan cop mohor di bahagian atas surat. Sultan Abdul Jalil Shah lll menyifatkan perbuatan ini sebagai satu penghinaan. Belanda masih menjalan usaha untuk mendamai persengketaan Johor-Jambi. Segala usaha Belanda gagal.

Pada bulan Mei 1667, tujuh buah kapal perang Johor tiba di Kuala Jambi dan membakar rumah serta dusun yang ada di situ. Kemudiannya datang pula Laksamana Tun Abdul Jamil bersama 50 buah perahu menyerang Jambi. Seterusnya Johor membuat persiapan untuk melancarkan serangan ke atas Jambi. Pada bulan Ogos 1669 angkatan Johor datang menunggu tentera Jambi di kuala. Apabila tentera Jambi tidak datang, angkatan Johor pulang. Pada bulan Ogos 1670, angkatan Jambi menyerang Inderagiri dan Tungkal. Johor bertindak balas. Angkatan Laksamana Tun Abdul Jamil datang menyerang Jambi.

Pangiran Dipati Anum Jambi bersumpah akan menyerang Johor bersama angkatan Palembang.[xlv] Pada tahun 1673, angkatan Jambi di bawah pimpinan Pangiran Dipati Anum melancarkan serangan mengejut ke atas Johor. Ibu kota Johor dimusnahkan.[xlvi] Jambi membawa pulang harta rampasan. Sultan Abdul Jalil Shah lll berlindung di Pahang.[xlvii] Setelah Johor dikalahkan Jambi, Sultan Abdul Jalil Shah lll menitahkan Laksamana Tun Abdul Jamil mendirikan kekuatan di Sungai Carang, Bintan.[xlviii] Pada tahun 1675 Raja Muda Bajau mangkat di Pahang. Berikutnya pada tahun 1677, Sultan Abdul Jalil Shah lll pula mangkat di Pahang. Dengan itu Raja Ibrahim, putera Raja Muda Bajau dilantik sebagai Sultan Johor. Laksamana Tun Abdul Jamil menjemput Sultan Ibrahim bersemayam di Bintan.

Dalam pada itu hubungan tegang berlaku di antara Daeng Mangika ketua orang Bugis yang berlindung di Jambi dengan Pangiran Ratu (Sultan Ingalaga). Sementara perselisihan berlaku di antara keduanya, angkatan Johor yang terdiri daripada 300 buah kapal di bawah Laksamana Tun Abdul Jamil muncul di Jambi pada Mei dan Jun 1679. Pertempuran berlaku dan Daeng Mengika memihak Johor. Dalam peperangan tersebut Jambi dikalahkan. Sultan Ingalaga menyifatkan Daeng Mengika yang dianggap seperti saudaranya sebagai penderhaka.[xlix] Pangiran Dipati Anum bersetuju membayar 10,000 rijksdaalders tunai kepada Laksamana Tun Abdul Jamil. Selain itu bersedia mengembalikan jumlah emas yang dirampas dalam perang dengan Johor dahulu (1673). Sebagai pendahuluan Pangiran Dipati Anum memberi kepada Laksamana Tun Abdul Jamil di antaranya, 3,000 rijksdaalders tunai, 3 kati emas dan 2 pucuk meriam logam.[l] Kejayaan Laksamana Tun Abdul Jamil mengalahkan Jambi sangat bererti dalam sejarah dan maruah kerajaan Johor. Johor berjaya memulihkan kembali maruahnya yang dikalahkan oleh Jambi sebelum ini. Jasa Laksamana Tun Abdul Jamil ini menyebabkan dia dianugerahkan gelaran Paduka Raja dan menjadi orang yang berkuasa dalam kerajaan Johor mengatasi kuasa Bendahara Tun Habib Abdul Majid.

Johor-Sulawesi

Perbincangan mengenai Johor-Sulawesi lazimnya dikaitkan dengan kehadiran dan penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara; Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambung dan Daeng Kemasi dalam politik Tanah Melayu dan Matan, Sambas serta Mempawah (kini Kalimantan Barat) Penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara dalam politik Melayu ini boleh dikesani di Johor, Linggi (Negeri Sembilan), Selangor, Perak, Kedah (Semenanjung Tanah Melayu), Matan, Sambas dan Mempawah (Kalimantan Barat). Penglibatan Opu Lima Bersaudara di Johor bermula ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (atau Raja Kechil, 1718-1722). Raja Kechil menduduki takhta kerajaan Johor pada tahun tahun 1718 setelah mengalahkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (sebelum ini Bendahara Johor). Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV menduduki takhta kerajaan Johor menggantikan Sultan Mahmud l yang mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama pada tahun 1699.[li] Oleh kerana Sultan Mahmud Shah l dikatakan tidak mempunyai zuriat, Bendahara Seri Maharaja Tun Abdul Jalil telah dipilih dan diangkat sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah lV (1699-1718).[lii]

Pada tahun 1721, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dibunuh di Kuala Pahang oleh Laksamana Nakhoda Sekam, di atas titah Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil). Dengan itu Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV meminta bantuan Opu Bugis Lima Bersaudara, Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Pertempuran berlaku di antara angkatan Bugis dengan angkatan Raja Kechil. Raja Kechil mengalami kekalahan dan berundur ke Siak. Pada tahun 1722 Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722-1760) dan bersemayam di Pulau Bintan. Manakala Daeng Marewah dilantik sebagi Yamtuan Muda Johor yang pertama.[liii]

Penglibatan Bugis dalam pentadbiran Johor mencetuskan perselisihan dengan suku Melayu. Orang Melayu di bawah pimpinan Sultan Mansur Terengganu (1733-1794) menjalankan langkah dan usaha untuk menghapuskan pengaruh orang Bugis dalam pentadbiran Johor. Berbagai usaha dilakukan antaranya meminta bantuan Belanda, tetapi orang Melayu gagal. Sultan Mansur Terengganu tinggal di Riau selama 14 tahun (1746-1760) untuk melaksanakan usaha ini. Setelah gagal menawan Yamtuan Muda Daeng Kemboja dalam pertempuran di Linggi kerana diselamatkan oleh Raja Lumu, Sultan Mansur Terengganu pulang ke Riau dan seterusnya ke Terengganu pada tahun 1760.[liv] Kegagalan orang Melayu ini menguatkan kedudukan orang Bugis dalam kerajaan Johor.

Pada tahun 1760, Sultan Sulaimana Badrul Alam Shah Johor mangkat. Yamtuan Muda ketiga, Daeng Kemboja mempengaruhi pembesar melantik putera baginda yang masih kecil, Raja Ahmad menjadi Sultan Johor. Tidak sampai setahun Sultan Ahmad pula mangkat. Sekali lagi Yamtuan Muda Daeng Kemboja berjaya melantik Raja Mahmud, adik Sultan Ahmad yang juga masih kecil sebagai Sultan Johor. Dengan ini kuasa pentadbiran Johor di bawah pegangan Yamtuan Muda Daeng Kemboja; tambahan pula sultanya masih kecil.

Penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara di Linggi pula berpunca daripada beberapa orang nelayan Bugis bergaduh dengan Penghulu Linggi. Ketika persaingan di antara orang Bugis dengan Raja Kechil berterusan di Johor, pergaduhan berlaku di antara beberapa orang nelayan Bugis dari Selangor dengan Penghulu Linggi. Pergaduhan ini berpunca daripada tindakan Penghulu Linggi meminta hasil daripada tangkapan tersebut. Oleh kerana nelayan Bugis enggan, pergaduhan berlaku di antara kedua pihak. Seterusnya Daeng Marewah dan angkatan datang melanggar Linggi. Penghulu Linggi meminta bantuan Raja Kecil di Riau. Dengan itu pertempuran berlaku di antara angkatan Daeng Marewah dengan Raja Kecil. Dalam pertempuran ini Raja Kecil dikalahkan. Penghulu Linggi pun tunduk kepada Bugis dan mengakui tidak akan derhaka kepada Bugis.[lv] Kejayaan ini menyebabkan orang Bugis bertapak di Linggi.

Manakala penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara di Selangor memberi kesan yang mendalam kepada politik negeri itu. Mengikut catatan yang ada orang Bugis telah lama menetap di Selangor. Dinyatakan sebelum Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor pada tahun 1766, sudah ada pemerintah keturunan Bugis di sini. Antaranya Harun Pasarai (Aron Passarai) dikurniakan mohor oleh Dato' Ungku Kelang dan kemudiannya digantikan oleh adiknya, Raja Siti.[lvi] Ketika Daeng Chelak menjadi Yamtuan Muda Johor Kedua menggantikan Daeng Marewah, dia bersama anaknya Raja Lumu melancarkan serangan ke atas Perak pada tahun 1742. Walaupun mereka gagal menggulingkan Sultan Muzaffar Shah, tetapi berjaya melantik Raja Muda Bisnu sebagai Sualtan Perak, bergelar Sultan Muhammad Shah dan bersemayam di Brahman Indera. Sejak kejayaan ini Raja Lumu ditempatkan di Selangor. Apabila Daeng Chelak meninggal dunia, jawatan Yamtuan Muda digantikan oleh Daeng Kemboja, anak Daeng Parani. Manakala Raja Lumu yang tinggal di Selangor itu dikenali sebagai Raja Selangor.[lvii]

Kemudiannya Raja Lumu berhasrat membebaskan Selangor daripada kekuasaan Johor. Dengan itu baginda menghantar utusan ke Perak. Kapal utusan Raja Lumu tiba di Kuala Sungai Perak pada September 1766, membawa surat kepada Sultan Mahmud. Antara lain surat itu meminta Sultan Mahmud melupakan segala hubungan tidak baik di antara Perak denganSelangor dahulu, mencadangkan hubungan baru dan yang lebih daripada itu ialah hasratnya untuk datang sendiri membincangkan perkara tersebut. Pada 27 September 1766, dua rombongan Perak ke Selangor untuk memulihkan hubungan Perak dengan Selangor.[lviii] Pada bulan Oktober 1766, Raja Lumu berada di Pulau Pangkor. Pada 6 November 1766, 6 kapal Bugis membawa Raja Lumu, diiringi oleh 8 baluk yang dihantar oleh Sultan Mahmud Shah berlabuh di Lumut. Ketika berada di Perak, Raja Lumu telah ditabalkan sebagai Sultan Selangor oleh Sultan Mahmud Shah. Nobat dan cop mohor diberikan kepadanya. Kini Raja Lumu menjadi Sultan bagi Selangor, dan Selangor bebas daripada kekuasaan Johor.[lix]

Dalam pada itu Opu Bugis Lima Bersaudara juga terlibat di Perak. Orang Bugis terlibat dalam negeri Perak pada tahun 1720-an dan 1740-an. Pada penghujung pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Shah (1720-1728), tahun 1728, orang Bugis di bawah pimpinan Daeng Marewah Yamtuan Muda pertama Johor membantu Muzaffar Shah, menyerang dari Bernam.[lx] Pada tahun 1739, Encik Unuk, anak Daeng Marewah melanggar Perak. Beliau mati diracun di Perak. Dengan itu pada Jun 1740, Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua, datang ke Perak menuntut kematian anak saudaranya. Beliau merampas empat perahu dengan muatanya sebanyak 200 bahara bijih timah.[lxi] Menurut Tuhfat al-Nafis, perselisihan berlaku di antara Sultan Perak dengan Yamtuan Muda Daeng Chelak kerana berlainan fikiran dan tujuan. Oleh kerana Sultan Perak enggan mematuhi keinginannya, Daeng Chelak pun marah dan seterusnya melanggar Perak. Pertempuran berlaku di antara kedua-dua pihak dan Perak dikalahkan. Daeng Chelak mengambil dua orang perempuan Perak, Che Samidah dan Che Timah sebagai isterinya.[lxii] Dalam pada itu dinyatakan juga pada tahun 1742 Daeng Chelak bersama anaknya, Raja Lumu membantu Raja Muda Bisnu menyerang Sultan Muzaffar Shah lll. Dalam kempen ini Daeng Chelak gagal menggulingkan Sultan Muzaffar Shah lll. Namun begitu beliau berjaya melantik Raja Muda Bisnu sebagai Sultan Perak, bergelar Sultan Muhammad dan bersemayam di Brahman Indera. Manakala Sultan Muzaffar Shah kekal memerintah Perak, berpusat di Kuala Kangsar.[lxiii]

Ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Perak menghadapi kacau bilau yang ditimbulkan oleh Sultan Berkabat dan Raja Halim.[lxiv] Sultan Barkabat, Raja Halim dan Raja Muda Iskandar menuntut hak ke atas takhta kerajaan Perak. Sultan Berkabat, putera Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil) dengan puteri Kedah dan telah pun bertunang dengan puteri Sultan Muzaffar Shah.[lxv] Sultan Berkabat yang mendapat bantuan Daeng Menteko dan anaknya Daeng Mencelak. Namun begiatu kekacauan ini dapat diatasi oleh Raja Muda Iskandar.

Opu Bugis Lima Bersaudara juga terlibat di Kedah. Penglibatan mereka di Kedah, seperti juga Johor adalah dalam perselisihan takhta kerajaan. Tunku Muhammad Jiwa meminta bantuan Daeng Parani untuk mendapatkan takhta kerajaan Kedah daripada adiknya, Raja Nambang. Dengan itu Yamtuan Muda Daeng Marewah bersama saudaranya dan angkatan berangkat ke Kedah. Ketika berada di Kedah mereka melantik Tunku Muhammad Jiwa sebagai Yang Dipertuan Kedah. Tindakan ini menimbulkan kemurkaan Raja Nambang. Dengan itu baginda melancarkan serangan ke atas Tunku Muhammad Jiwa yang mendapat bantuan Bugis. Dalam pertempuran ini angkatan Raja Nambang mengalami kekalahan.[lxvi] Setelah selesai, Yamtuan Muda Daeng Marewah bersama saudaranya pulang ke Riau.

Raja Nambang yang tidak puas hati meminta bantuan Raja Kechil. Kehadiran Raja Kechil di Kedah ini menyebabkan Sultan Muhammad Jiwa sekali lagi meminta bantuan Yamtuan Muda di Riau. Dengan itu angkatan Opu Bugis Lima Bersaudara datang membantu Sultan Muhammad Jiwa. Kedua-dua angkatan, Raja Kechil dan Opu Bugis berperang. Dalam pertempuran ini Daeng Parani terkorban.[lxvii] Kemudiannya pada November 1770, Raja Haji dan Raja Said, Raja Muda Selangor, menghantar surat kepada Sultan Muhammad Jiwa menyatakan akan melanggar Kedah. Kemudiannya angkatan Selangor, yang terdiri di antaranya Raja Haji dan Sultan Sellehuddin singgah di Perak bertemu Sultan Mahmud dan mengharapkan doa selamat.[lxviii] Ketika berada di Perak, Sultan Sallehuddin berkahwin dengan anak Raja Bendahara Chulan.[lxix] Selepas berkahwin, pada 31 Disember 1770, Sultan Sallehuddin menyertai angkatan Bugis melanggar Kedah.[lxx] Seterusnya pada tahun 1771, angkatan Bugis melancarkan serangan ke atas Kedah.[lxxi] Raja Chulan menyatakan dalam Misa Melayu, Sultan Mahmud mengarahkan Raja Kechil Bongsu ikut serta dalam serangan itu. Misa Melayu dan Tuhfat al-Nafis menyatakan Bugis mencapai kemenangan dalam serangan tersebut.[lxxii] Padahal angkatan Kedah menentang pasukan Bugis ini. Setelah pertempuran berlarutan melebihi tiga bulan, pada Mac 1771, Raja Haji meninggalkan Kedah, terus ke Bernam. Raja Haji kehilangan empat atau lima penglima yang handal dan ramai tenteranya mati[lxxiii] dan angkatan Bugis dikalahkan.[lxxiv]

Selain terlibat dalam politik di Semenanjung Tanah Melayu, Opu Bugis Lima Bersaudara juga terlibat dalam politik di Matan, Sambas dan Mempawah di Kalimantan Barat, Indonesia. Penglibatan Opu Lima Bersaudara di Matan berpunca dari peperangan yang berlaku di antara Pangeran Agung dengan Sultan Muhammad Zainuddin. Pangeran Agung mendapat sokongan daripada menantunya Daeng Mateko dan Haji Hafiz melancarkan serangan ke atas Sultan Muhammad Zainuddin. Sultan Muhammad Zainuddin yang mengalami kekalahan dalam peperangan itu berundur ke negeri Banjar. Ketika berada di sini Sultan Muhammad Zainuddin mengirim utusan ke Siantan meminta bantuan Opu Bugis Lima Bersaudara. Sementara itu Sultan Muhammad Zainuddin dan angkatan datang menuntut takhta kerajaan di Matan. Baginda gagal dan terkepun di dalam mesjid. Ketika Opu Bugis Lima Bersaudara tiba di Matan, Sultan Muhammad Zainuddin sudah beberapa bulan berada dalam tahanan di mesjid tersebut. Dengan bantuan Opu Bugis Lima Bersauadara, Sultan Muhammad Zainuddin dibebaskan dan kembali bertakhta di atas kerajaan. Setelah berjaya memulihkan keamanan di Matan. Daeng Menambun dikahwinkan dengan Puteri Kesumba, puteri Sultan Muhammad Zainuddin.[lxxv]

Seterusnya Opu Bugis Lima Bersaudara terlibat dalam kancah politik di Tanah Melayu. Setelah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dibunuh di Kuala Pahang oleh Nakhoda Sekam di atas titah Raja Kechil, [lxxvi] putera baginda Raja Sulaiman menghantar surat kepada Opu Bugis Lima Bersaudara di Matan (Kalimantan Barat, Indoensia) memohon bantuan mengambil takhta kerajaan Johor daripada Raja Kechil. Daeng Parani yang menerima surat ini gembira “… seperti api yang bernyala-nyala…” menunjukkan surat tersebut kepada Daeng Marewah. Kemudiannya kelima-lima bersaudara bangkit menghunus keris “…mengaruk-aruk, berkanjar-kanjar…” dan diikuti dengan ikrar Daeng Marewah, “Jika belum aku ambil Riau dengan segala takluk daerahnya aku serahkan kepada Raja Sulaiman, aku haramkan menjejak tanah Bugis atau aku Mati”. Persiapan melancarkan serangan dibuat, Daeng Chelak dilantik oleh Daeng Parani sebagai Panglima Besar, Daeng Menambun sebgai Panglima Kanan, Daeng Kemasi sebagai Panglima Kini dan Daeng Marewah sebagai Kepala dalam angkatan tersebut.[lxxvii] Angkatan Bugis ini tiba di Riau dan peperangan berlaku di antara mereka dengan angkatan Raja Kechil. Dalam peperangan ini Raja Kechil dikalahkan, dan Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.[lxxviii]

Setelah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah menduduki takhta kerajaan Johor, baginda menyatakan hasrat kepada Opu Bugis Lima Bersaudara untuk melantik salah seorang daripada mereka sebagai Yamtuan Muda Johor “…memerintahkan kerajaan Riau dan Johor dan Pahang dengan segala takluk daerahnya”. Daeng Parani, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi masing-masing memberi alasan menolak menduduki jawatan Yamtuan Muda. Daeng Parani menyatakan sebagai saudara yang tua, menyerahkan jawatan itu kepada adiknya yang empat. Daeng Menambun menyatakan yang dia sudah berjanji dengan Raja Matan akan mentadbir Mempawah (kini dalam Propinsi Kalimantan Barat, Indonesia). Daeng Kemasi pula menyatakan kedudukan Riau jauh dari tanah Bugis. Manakala Daeng Chelak menyatakan “Saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera [Daeng Marewah], tiada saya mahu menjadi yang dipertuan muda”.[lxxix] Namun begitu di atas nasihat Daeng Menampuk akhirnya Daeng Marewah dilantik oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebagai Yamtuan Muda Johor.[lxxx] Yamtuan Muda Daeng Marewah dipakaikan pakaian kerajaan dan diarakkan keliling kota. Sesudah diarakkan Yamtuan Muda Daeng Marewah dinaikkan ke atas balai dan di sinilah Yamtuan Muda Daeng Marewah mengaruk. Ketika mengaruk Yamtuan Muda Daeng Chelak menyebut:

Yakinlah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, akulah Yang Dipertuan Muda yang memerintahkan kerajaanmu. Barang yang tiada suka engkau membujur di hadapanmu aku lintangkan, dan barang yang tiada suka melintang di hadapanmu aku bujurkan. Barang yang semak di hadapanmu, aku cucikan..,[lxxxi]

Kemudiannya datang utusan Sultan Kedah membawa surat meminta bantuan daripada Daeng Parani yang pada ketika ini berada di Selangor untuk mendapatkan kerajaan daripada adiknya. Dengan itu Daeng Parani pulang ke Riau berbincang dengan Yamtuan Muda Daeng Marewah dan juga Daeng Chelak. Opu Lima Bersaudara bersetuju ke Kedah membantu.[lxxxii] Ketika berada di Kedah, Opu Bugis Lima Bersaudara berperang dengan adik Sultan Kedah. Akhirnya adik sultan kalah, dan dengan itu Opu Bugis Lima Bersaudara berjumpa Sultan Kedah serta bermohon pulang.[lxxxiii]

Adinda Sultan Kedah yang dikalahkan oleh Opu Bugis Lima Bersaudara meminta bantuan Raja Kechil menentang kekandanya. Dengan itu Sultan Kedah sekali lagi meminta bantuan Opu Lima Bersaudara dari Riau. Kali ini Opu Bugis Lima Bersaudara berperang dengan angkatan Raja Kechil. Dalam pertempuran ini Daeng Parani terkorban. Setelah melihat Daeng Parani terkorban, Daeng Chelak saudaranya mengamuk menyerang kubu Raja Kechil. Akhirnya Raja Kechil dikalahkan dan pulang ke Siak.[lxxxiv]

Hubungan Kedah, Pahang, Perak – Aceh

Hubungan Kedah-Aceh dikaitkan dengan serangan Aceh ke atas Kedah pada tahun 1619. Dalam serangan Aceh ini, Sultan Sulaiman Shah II bersama keluarga, pembesar dan rakyat Kedah kira-kira 7,000 orang ditawan ke Aceh. Namun begitu ada juga dinyatakan Aceh tidak melanggar Kedah, walaupun Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam datang ke Kedah.[lxxxv] Begitu juga dengan hubungan Pahang-Aceh. Pada tahun 1617, angkatan Aceh datang menyerang Pahang. Raja Ahmad dan puteranya, Raja Mughal ditawan dan dibawa diAceh.[lxxxvi] Raja Mughal dikahwinkan dengan puteri Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Apabila Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam mangkat takhta kerajaan Aceh digantikan oleh Raja Mughal dengan gelaran Sultan Iskandar Thani.

Begitu juga Perak, diserang oleh angkatan Aceh pada tahun 1620. Perak dikalahkan, pemerintah, pembesar dan jumlah tertenut rakyat ditawa serta dibawa ke Aceh.[lxxxvii]

Kerajaan Johor-Riau-Lingga

Kerajaan Johor mulai 1722, ketika pemerintahan Sultan Sulaiaman Badrul Alam Shah berpusat di Bintan. Kerajaan Johor pada ketika ini merangkumi Riau, Lingga dan kepulauannya. Namun begitu pusat pentadbiran Johor berpindah ke Lingga ketika pemerintahan Sultan Mahmud. Ketika ini kerajaan Johor dikenali sebagai Kerajaan Johor-Lingga-Riau. Apabila Sultan Mahmud mangkat pada tahun 1812, takhta kerajaan Johor digantikan putera baginda, Tengku Abdul Rahman.

Putera sulung baginda, Tengku Husin tidak puas hati. Dengan bantuan Temenggung Abdul Rahman Johor dan Sir Stamford Raffles, Tengku Abdul Rahman diangkat sebagai Sultan Johor bersemayam di Singapura. Perlantikan ini melalui perjanjian yang ditandatangani Temenggung Abdul Rahman dan Sultan Husin dengan Sir Stamford Raffles yang mewakili kompeni British pada tahun 1819. Perlantikan ini juga mewujudkan dua orang Sultan dalam kerajaan Johor.

Sementara itu dua kuasa barat, British dan Belanda mencari peluang menguasai kawasan atau negeri di kepulauan Melayu. British dan Belanda sentiasa berselisih dalam soal lingkungan pengaruh. Dengan itu mereka menandatangani perjanjian pada 17 Mac 1824, menentukan yang kawasan Singapuran ke atas adalah lingkungan pengaruhi British; manakalah kawasan ke bawah Singapura, lingkungan pengaruh Belanda. Perjanjian London atau Inggeris Belanda ini telah memecahkan Kerajaan Johor Lama. Apa yang lebih penting lagi, kerajaan Johor yang dipecahkan ini: Riau dan Lingga akhirnya di bawah pengaruh Belanda dan seterusnya menjadi sebahagian daripada Indonesia



KESIMPULAN

Sepanjang hubungan Malaysian-Indonesia dari tahun 1400 hingga 1824, berbagai peristiwa penting berlaku. Antaranya perkahwinan, perselisihan dan peperangan, menyelesaikan persoalan agama dan hubungan perniagaan.


Nota Hujung

[i] Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 2.

[ii] Abdul Rahman Ismail (dirumikan), Sejarah Melayu – The Malay Annals, MS. Raffles 18, Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1998, hlm. 92.

[iii] Haji Buyong Adil, Sejarah Singapura, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972, hlm. 24-41.

[iv] Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 106. Mengenai pengasas kesultanan Melaka sila lihat O.W. Wolters, The Fall of Srivijaya in Malay History, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1970, hlm. 116.

[v] Muhammad Yusoff Hashim, The Malay Sultanate of Malacca, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 80.

[vi] Mengenai serangan Portugis ini dinyatakan oleh Sejarah Melayu. A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm. 252-254.

[vii] Mengikut Sejarah Melayu, Sultan Ahmad dibunuh kerana baginda lebih memberi perhatian kepada Orang Besar yang muda-muda. “…Sultan Ahmad…tiada kasih akan segala orang besar-besar dan segala pegawai, melainkan yang dikasihi baginda segala orang muda-muda dengan segala hamba raja yang tersebut itu juga dikasihi baginda”. A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 255.

[viii] Mengenai perlantikan pembesar ini sila lihat A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 256-257.

[ix] A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 268.

[x] Lintasan Sejarah Kerajaan Pelalawan, Pemerintahan Daerah Kabupaten Pelalawan, Riau, hlm. 3.

[xi] A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 77.

[xii] Ibid., hlm. 78-81.

[xiii] Ibid., hlm. 119-120.

[xiv] Ibid. Lihat juga Isjoni Ishaq dan Elmustian Rahman (penyelenggara), Sejarah Kesultanan Inderagiri, Pekan Baru: Unri Press, 2003, hlm. 39-40.

[xv] Isjoni Ishaq dan Elmustian Rahman (penyelenggara), Sejarah Kesultanan Inderagiri, hlm. 42.

[xvi] A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 202.

[xvii] Ibid.

[xviii] Isjoni Ishaq dan Elmustian Rahman (penyelenggara), Sejarah Kesultanan Inderagiri, hlm. 47-48. Mengenai Raja Nara Singa dan kerajaan Inderagiri boleh juga lihat Hasan Junus, Zuarman & Fakhri, Kerajaan Inderagiri, Pekanbaru: Unri Press, 2002, hlm. 29-61.

[xix] A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. -204.

[xx] Arkib Negara Malaysia, Surat Persendirian 71/9.

[xxi] Ibid.

[xxii] Tengku Arief, S.H., Rakit Kulim: Menjemput Raja Melaka, hlm. 6.

[xxiii] Ibid., hlm. 14, 17-18, 20.

[xxiv] A. Samad Ahmad (Penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hlm. 138-140.

[xxv] Ibid., hlm. 259-261.

[xxvi] Ibid., hlm. 141-142.

[xxvii] Abdul Rahman Haji Ismail (perumi), Sejarah Melayu – The Malay Annals, Raffles No. 18, Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1998, hlm. 146-159.

[xxviii] Ibid., hlm. 183-185.

[xxix] Kedudukan Pahang tanpa sultan ini berterusan hingga tahun 1884, apabila Bendahara Wan Ahmad dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang dengan gelaran Sultan Ahmad Muazam Shah.

[xxx] Shaharom Husain, Sejarah Johor: Kaitannya Dengan Negeri Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1995, hlm. 10.

[xxxi] L.Y. Andaya, Kerajaan Johor.., hlm. 32.

[xxxii] M.C. Ricklefs, Sejarah Indonesia Modern, Yogyakarta: Gadjah Mada University Press, 1992, hlm. 48.

[xxxiii] Azyumardi Azra, Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVll dan XVlll, Bandung: Penerbit Mizan, 1994, hlm. 52-54. Dennys Lombard, Kerajaan Aceh Zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636), Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia, 2007, hlm. 66.

[xxxiv]Jane Drakard, A Kingdom of Words: Language and Power in Sumatra, Shah Alam: Oxford University Press, 1999, hlm. 31.

[xxxv] James T. Siegel, The Rope of God, Los Angeles: University of California Press, 1969, hlm. 36-37.

[xxxvi] Belanda Di Johor dan Siak 1602-1865, Pekan Baru: Departmen Pendidikan dan Kebudayaan Bagian proyek Penelitian dan Pengkajian Kebudayaan Melayu, 1985/1986, hlm. 36.

[xxxvii] Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 63;65.

[xxxviii] L.Y. Andaya, Kerajaan Johor.., hlm. 32-33.

[xxxix] Buyong Adil, Sejarah Johor, hlm. 66.

[xl] Sartono Kartodirdjo, Pengantar Sejarah Indonesia Baru: 1500-1900 Dari Emporium Sampai Imperium, Jilid l, Jakarta: Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, 1992, hlm. 81.

[xli] Raja Muda Johor pada tahun 1659 adalah Raja Muda Bajau, putera Sultan Abdullah Muayat Shah (1615-1623). Walaupun L.Y. Andaya dalam bukunya Kerajaan Johor 1641-1728 (hlm. 112) mencatatkan Raja Muda Ibrahim dan begitu juga Hikayat Johor, tetapi Raja Muda ini mangkat pada tahun 1675. Padahal Raja Ibrahim, putera Raja Bajau menduduki takhta kerajaan Johor menggantikan Sultan Abdul Jalil Shah lll pada tahun 1677. Tidak munasabah Raja Muda Ibrahim yang mangkat pada tahun 1675, dilantik sebagai Sultan Johor pada tahun 1677. Dengan itu Raja Muda yang berkahwin dengan puteri Pangiran Ratu Jambi adalah Raja Muda Bajau.

[xlii]Barbara Watson Andaya, To Live As Brothers: Southeast Sumatra in the Seventeenth and Eighteenth Centuries, Honolulu: University of Hawaii Press, 1993, hlm. 99.

[xliii] L.Y. Andaya, Kerajaan Johor.., hlm. 113.

[xliv] L.Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728: Economic and Political Developments, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1975, hlm. 84.

[xlv] L.Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728.., hlm. 86-90.

[xlvi] Belanda di Johor dan Siak 1602-1865, hlm. 47.

[xlvii] L.Y. Andaya, Kerajaan Johor.., hlm. 112-133.

[xlviii] Ismail Hussein (ed.), "Hikayat Johor", dalam R.O. Winstedt, A History of Johore, hlm. 191.

[xlix] Barbara Watson Andaya, To Live As Brothers.., hlm. 105.

[l] L.Y. Andaya, Kerajaan Johor.., hlm. 161-163.

[li].Hikayat Johor Serta Pahang, hlm. 1-2. R.O. Winstedt, A History of Johore, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1979, hlm. 50-51. Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 84-85; Sejarah Pahang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972, hlm. 73; Sejarah Terengganu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, hlm. 14. W. Linehan, A History of Pahang, Kuala Lumpur: MBRAS, 1973, hlm. 45. Aruna Gopinath, Pahang 1880-1933: A Political History, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1991, hlm. 17. Kenyataan ini boleh diterima sekiranya menolak Raja Kechil (Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah Johor, 1718-1722) sebagai putera Sultan Mahmud. Raja Kechil mendakwa bahawa baginda adalah putera Sultan Mahmud dengan gundiknya Che Pong.(Mengenai Raja Kechil, sila lihat Abdullah Zakaria bin Ghazali, "Raja Kechil - Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah 17.18-1722: Satu Kajian Tentang Asal-susulnya", Jurnal Sejarah Melaka, Bil. 6., 1981, hlm. 48-52.

[lii] Abdullah Zakaria bin Ghazali, "Sultan Keturunan Kesultanan Melaka di Pahang dan Johor", Jurnal Sejarah Melaka, Bil. 7, 1982, hlm. 58.

[liii] Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, Singapura: Malaysian Publications Ltd., 1965, hlm. 62.

[liv] Abdullah Zakaria bin Ghazali, Terengganu: Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1996, hlm. 10-14.

[lv] Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 206-211.

[lvi] SP. 79/2, Sejarah Dato' Ungku Kelang Dengan Negeri Selangor.

[lvii] SP. 79/3, Memorial Presented on Behalf of His Highness Tungku Badar Shah, Tungku Panglima Besar of Selangor, Concerning his right and claim to be appointed Raja Muda of Selangor. C.O. 7l7/117, Pesuruhjaya Tinggi kepada J.H. Thomas, 7 April 1936, enclosure no. l, "Memorial Presented on behalf of His Highness Tungku[Tengku] Badar Shah, Tungku Panglima Besar of Selangor, Concerning his right and claim to be appointed Raja Muda of Selangor".

[lviii] B.W. Andaya, Perak: The Abode of Grace: A Study of an Eighteenth Century Malay State, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1979, hlm. 262-264.

[lix] Ibid., hlm. 268. Raja Chulan, Misa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966, hlm. 186-188. Virginia Matheson (editor), Tuhfat al-Nafis, hlm. 178.

[lx] R.O.Winstedt & R.J. Wilkinson, A History of Perak, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1974, hlm. 61.

[lxi] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 72.

[lxii] Shaharil Talib, Ismail Hussein, Michiko Nakahara (Pengenalan), Tuhfat al-Nafis Naskah Terengganu, Kuala Terengganu: The House of Tengku Ismail, 1991), hlm. 70. Virginia Matheson & Barbara Watson Andaya (an annotated translation), The Precious Gift (Tuhfat al-Nafis), Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1983, hlm. 91. Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam, hlm. 261-262.

[lxiii] Haji Buyong Adil, Sejarah Perak, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972, hlm. 26. Raja Chulan, Misa Melayu, hlm. 22-23. R.O. Winstedt and R.J. Wilkinson, A History of Perak, hlm. 62.

[lxiv] Manuskrip Misa Melayu mengejanya Raja Halim. Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace mengeja Raja Alim.

[lxv] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 160.

[lxvi] Mohammad Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm. 18.

[lxvii] Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis, hlm. 218-224.

[lxviii] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 296. Raja Chulan, Misa Melayu, hlm. 190-191.

[lxix] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 299. Haji Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, hlm. 18-19, membuat kesilapan menyatakan Raja Lumu datang ke Perak pada tahun 1770 dan ditabalkan sebagai Sultan Selangor serta berkahwin dengan anak saudara Sultan Perak. Sebenarnya, Sultan Sallehuddin telah ditabalkan di Perak pada tahun 1766; tetapi baginda dan Raja Haji singgah di Perak pada tahun 1770 dalam perjalanan hendak melanggar Kedah. Ketika berada di Perak, Sultan Sallehuddin berkahwin dengan anak Raja Chulan, anak saudara Sultan Mahmud Shah Perak.

[lxx] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 300.

[lxxi] R. Bonney, Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1974, hlm. 28.

[lxxii] Raja Chulan, Misa Melayu, hlm. 191. Virginia Matheson (editor), Tuhfat al-Nafis, hlm.184-188. Mengenai serangan ini sila lihat juga, Dianne Lewis, "Kedah - The Development of A Malay State in the 18th and 19th Centuries", Anthony Reid and Lance Castles (eds.), Pre-Colonial State Systems in Southeast Asia, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1975, hlm. 39;40.

[lxxiii] Barbara Watson Andaya, Perak: The Abode of Grace, hlm. 300.

[lxxiv] Mohammad Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942, hlm. 20-21. Beliau mencatatkan serangan ini dilakukan pada tahun 1769.

[lxxv] Untuk keterangan lanjut mengenai penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara di Matan ini, sila lihat Rogayah A. Hamid (diselenggarakan oleh), Hikayat Upu Daeng Menambun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

[lxxvi] Virginia Matheson (ed.), Tuhfat al-Nafis, hlm. 69.

[lxxvii] Ibid., hlm. 70.

[lxxviii] Ibid., hlm. 70-82.

[lxxix] Ibid., hlm. 83.

[lxxx] Ibid., hlm. 84.

[lxxxi] Ibid., hlm. 85.

[lxxxii] Ibid., hlm. 87.

[lxxxiii] Ibid., hlm. 88.

[lxxxiv] Ibid., hlm. 92.

[lxxxv] Buyong Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, hlm. 18-19.

[lxxxvi] Buyong Adil, Sejarah Pahang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972, hlm. 61.

[lxxxvii] R.O. Winstedt and R.O. Wilkinson, A History of Perak, Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1974, hlm. 20-21.

Tidak ada komentar: